04 August 2013

Lelong Pahala

Assalamualaikum.




Seperti biasa, apabila datang bulan puasa, atau ada kematian, akan ada pihak membuat duit dengan mendakwa mereka boleh menghasilkan pahala berbayar yang akan ekspot kepada si mati ke alam barzakh. Ini dengan cara membayar wang kepada mereka yang berzikir atau membaca al-Quran yang dipanggil ‘tahlil’ khas yang berbayar.

Maka ramailah ‘tekong’ yang melimpah luah wang pada bulan puasa
 ini hasil daripada tempahan pahala orang ramai yang hendak dihantar kepada kaum keluarga mereka yang telah meninggal. Pahala yang ditempah itu, kelihatannya lebih laris dari kueh dan baju raya.

Seperti mana orang kaya pada hari raya akan lebih mewah dengan kueh dan baju yang tempah, barangkali hari ini ada yang menganggap mereka juga akan begitu mewah di akhirat dengan pahala-pahala yang dibayar dan dihantar ke akhirat untuk digunakan di sana bagi mendapatkan syurga.

Maka, barangkali ramailah yang akan menganggap nanti bahawa mereka tidak perlu banyak amalan untuk masuk syurga, tetapi perlu banyak duit kerena pahala boleh dibeli di dunia dan dikirim ke sana. Sehingga yang terbaru pahala itu boleh ditempah secara online.

Malangnya, oleh kerana yang berniaga pahala ini terdiri daripada kalangan golongan agama, maka banyaklah pula nas-nas yang dieksploitasikan untuk memastikan perniagaan pahala itu berjalan lancar.

Digunakan kenyataan ulama dahulu dan sekarang sehingga orang ramai yang jahil tidak dapat membezakan antara maksud sebenar para ulama itu dan ‘bisnes’ mereka pada hari ini.

Ya, memang terdapat perbezaan pendapat tentang sampai ataupun tidak bacaan pahala kepada si mati. Namun, pihak yang menyatakan sampai tidak pernah membenarkan ‘menjual pahala’ kepada si mati dengan bayaran seperti yang dibuat pada hari ini.

Di sini saya petik apa yang disebut dalam kitab akidah yang terkenal dan dianggap rujukan penting kesarjanaan Islam iaitu Syarh al-Tahawiyyah oleh Ibn Abi al-Izz al-Hanafi (meninggal 792H) yang merupakan salah seorang penyokong pendapat yang menyatakan bacaan al-Quran sampai kepada si mati, katanya:

“Ulama berbeza pendapat (mengenai sampai atau tidak kepada si mati) ibadah badaniyyah; seperti puasa, solat, bacaan al-Quran dan zikir.

Pendapat Abu Hanifah dan majoriti salaf ia sampai. Apa yang masyhur dalam Mazhab al-Syafi’i dan Malik tidak sampai” (m.s 458).

Seterusnya beliau menyebut:

“Adapun mengupah orang untuk membaca al-Quran dan dihadiahkan kepada si mati, ini tidak pernah dilakukan oleh sesiapa pun di kalangan ulama salaf. Tidak pernah disuruh atau diberi kelonggaran oleh mana-mana sarjana agung dalam agama ini. Tanpa sebarang perbezaan di kalangan ulama; mengupah untuk pahala bacaan adalah tidak dibolehkan. Apa yang mereka berbeza mengenai keharusan upah adalah dalam bab mengajar al-Quran dan yang sepertinya; di mana manfaatnya sampai kepada orang lain.

Pahala tidak akan sampai kepada si mati melainkan amalan itu ikhlas kerana Allah. Perbuatan upah itu adalah tidak ikhlas. Maka tiada pahala untuk dihadiahkan kepada si mati.

Maka jangan ada yang menyebut bahawa dia menyewa orang untuk berpuasa atau bersolat lalu dihadiahkan pahalanya kepada si mati. Namun, jika dia memberi kepada sesiapa yang membaca al-Quran; mengajar dan belajar sebagai bantuan kepada ahli al-Quran, ini termasuk dalam sedekah, maka harus…jika dia berwasiat agar diberikan bahagian daripada hartanya kepada sesiapa yang membaca al-Quran di kuburnya, maka wasiat itu batil kerana termasuk dalam jenis upah…jika dia menentukan wakaf untuk sesiapa yang membaca al-Quran di kuburnya, maka penentuan itu batil.

Namun jika dia membaca al-Quran dan menghadiahkannya secara suka rela tanpa upah, maka ia sampai kepada si mati seperti mana sampainya pahala solat dan haji (m.s. 463-464, tahqiq: Ahmad Syakir, Riyadh: Wizarah al-Syuun al-Islamiyyah).

Inilah pendapat mereka yang bersetuju menyatakan ia sampai, bukan seperti yang diekspoitasikan. Jika nak cari yang sokong ambil upah memang ada, seperti mana ustaz yang kaki hisap rokok tentu menyatakan rokok makruh, walaupun seluruh fatwa antarabangsa; ulama dan para pakar kesihatan menyatakan ia haram.

-dr asri mantan mufti perlis