26 July 2013

Butakan keburukan, Celikkan kebaikan

Tiada niat di hati ana untuk menyebarkan keburukan wanita yang menutup aurat melalui perkongsian pengalaman tadi. Cuma, apa yang ingin ana sampaikan cumalah kadang- kadang kita perlu mengetepikan keburukan yang ada pada orang lain demi membina ukhuwah sesama muslim.

Kebanyakan kita, suka menilai manusia pada luarannya. Ya, tidak dinafikan apa yang dizahirkan selalunya adalah apa yang tersirat di dalam hati seseorang. Kita menilai tanpa mengenali dan mendalami seseorang itu. Adilkah? Ana tidak bermaksud agar kita semua mengenali setiap orang yang kita bertemu untuk mengetahui sikap sebenar merekaTetapi, cukup rasanya jika kita membutakan mata kita dari melihat keburukan seseorang dan membuka mata seluas- lusanya untuk melihat kebaikan mereka.

Harus diingat, membutakan mata kita dari melihat keburukan orang lain bukan bermaksud kita membenarkan atau menghalalkan segala perbuatan buruk mereka. Tetapi, berpeganglah bahawa setiap manusia tidak sempurna. Andai tidak ditegur, manakan kita dapat melihat keburukan sendiri. Sentiasa berbaik sangka apabila melihat sesuatu keburukan. Mungkin mereka tidak tahu bahawa menutup aurat itu wajib. Apa yang harus kita lakukan adalah menegur, bukanya mengeji dalam hati.

Dalam membina ukhuwah, ianya lebih mudah jika kita melihat sesuatu yang baik pada orang lain. Lebih mudah untuk kita dekati. Bagaimana ukhuwah dapat dibina sedangkan kita asyik melihat sesuatu keburukan dalam diri seseorang. Dan harus kita ingat, sesungguhnya, kita juga insan yang sentiasa membuat silap, sama seperti orang lain.
Wallahua'lam.